CONTOH LAPORAN SESI KAUNSELING
KLIEN PERTAMA
TARIKH
20 Januari 2014
NAMA SAMARAN
Maryam
LATAR BELAKANG KLIEN
Lahir pada 6 Februari 1995 di
Hospital Besar Kuala Lumpur. Klien bersekolah rendah di sebuah sekolah di Klang,
Safiyya Private School, seterusnya bersekolah menengah di Wadi Yusuff’s High
School, Klang sehingga PMR dan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat di
Sekolah Menengah Sains Tapah dan mengambil aliran Sains Tulin. Taraf sosial
keluarga yang dianggap berada dan mewah, membolehkan klien berkeupayaan bertutur
dalam bahasa Inggeris dengan baik yang bermula di peringkat sekolah rendah
lagi. Maryam banyak terlibat dalam kegiatan ko-kurikulum termasuklah kelab Silat
Gayung yang memerlukan disiplin yang tinggi serta ketangkasan individu. Dia
mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan
menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Klien merupakan
anak sulung daripada 2 orang adik beradik. Ayahnya memegang jawatan tinggi di
sebuah syarikat yang bertempat di Subang Jaya, Selangor. Ibunya pula ialah
seorang doktor pakar kulit dan telah membuka sebuah klinik pakar kulit di
sekitar Klang.
PEMERHATIAN
Klien ialah seorang pelajar yang
kemas dalam berpakaian, rupa paras yang menarik, mempunyai ciri-ciri pemimpin
dan boleh dikatakan berketrampilan. Boleh dipercayai apabila diberikan
tanggungjawab yang diamanahkan. Tetapi dia suka menyendiri dan selalu menangis
seorang diri tanpa sesiapa pun tahu apa punca beliau menangis. Dia kelihatan
selalu berjalan ke kelas seorang diri dan jarang berjalan atau keluar beriadah
bersama kawan-kawan yang lain.
Kehidupannya di kolej kelihatan suram dan tidak ramai yang ingin
berkawan dengannya kerana mereka menganggap dirinya sombong.
PERNYATAAN MASALAH
Mengikut pemerhatian, Maryam didapati
selalu mengasingkan diri daripada kawan-kawan yang lain dan kerap menangis.
Sebenarnya apakah masalah yang dihadapi oleh Maryam yang sehingga dia jarang
bergaul dengan orang ramai dan sentiasa berdiam diri? Adakah masalah tersebut
berpunca daripada keluarganya atau daripada sikapnya sendiri?
MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Sebenarnya Maryam dikenal pasti
mempunyai masalah dengan keluarganya terutama ibu dan bapanya. Dia kurang
mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya sehingga dia merasakan
dirinya tidak berguna. Dia kebanyakannya menghabiskan masa bersama orang
gajinya sahaja. Ibu bapanya tidak membenarkan Maryam untuk bergaul dengan
kawan-kawan yang lain kerana takut terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat
dan tidak bermoral. Oleh hal yang demikian, Maryam hanya terperuk di rumah
sahaja dan hanya bersosial di media massa dan laman siber seperti Facebook,
Twitter, Instagram dan Tmblr. Kongkongan oleh ibu bapanya membuatkan Maryam
berasa kekok apabila dia keluar dari rumah berjumpa dengan orang ramai.
Tambahan lagi, ibu bapanya selalu sahaja sibuk dengan kerja masing-masing dan
jarang sekali berada di rumah. Situasi tersebut menyebabkan Maryam seperti
menghadapi tekanan emosi kerana dia tidak boleh untuk meluangkan masa dan
menceritakan masalah dengan ibu bapanya. Dia juga kurang mendapat perhatian
daripada orang tuanya dan menyebabkan dia berasa sangat sunyi. Akibatnya, dia
sentiasa kelihatan murung dan kerap kali menangis kerana dia jarang sekali
berjaya untuk menghubungi ibu bapanya untuk bertanya khabar dan berkongsi
masalah disebabkan oleh kesibukan mereka.
PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·
Menasihatinya
agar tidak terlalu mengikut perasaan dan jangan membawa masalah keluarga dalam
kehidupan luar.
·
Cuba
untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana program
agar dapat berkomunikasi dan bergaul dengan orang ramai.
·
Cuba
berkongsi masalah dan cerita dengan kawan-kawan yang boleh dipercayai agar
dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung.
KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES
MEMBANTU
·
Mendengar
setiap kata-kata dan masalah daripada klien.
·
Menasihatinya
dan memberi cadangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
REFLEKSI
Berdasarkan
kes di atas, klien sedikit sebanyak menemui celik akal dan menunjukkan
kekuatan kendiri hasil dari proses kaunseling tersebut. Klien menjadikan
segala cadangan dan nasihat sebagai penguat serta perangsang semangat. Selain
itu, ditambah dengan kerjasama dan keinginan mendalam klien untuk berubah telah
menjadikan sesi ini agak berkesan dan mampu mengurangkan masalah emosi klien.
KLIEN KEDUA
TARIKH
22 Januari 2014
NAMA SAMARAN
Sya
LATAR BELAKANG KLIEN
Sya dilahirkan pada 20 Disember 1995
di Kuala Kangsar, Perak. Dia merupakan anak keempat daripada 6 orang adik
beradik. Sya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak susah dan ayahnya
bekerja sebagai penoreh getah sementara ibunya hanya seorang surirumah.
Kehidupan keluarganya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
dan ayahnya hanya dapat menyara keluarga dengan RM700 sebulan. Sya bersekolah
di Sekolah Menengah Tunku Hussin, Kuala Kangsar dan mendapat keputusan yang
kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Namun nasib menyebelahinya,
walaupun keputusan SPM tidak begitu memuaskan, dia ditawarkan untuk menyambung
pelajaran di sebuah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN).
PEMERHATIAN
Sya merupakan seorang gadis yang
sangat baik dan peramah. Dia sentiasa ceria dan disenangi oleh rakan-rakannya.
Walaupun Sya seorang yang peramah dan ceria, sebenarnya dia mempunyai sifat iri
hati dan dengki terhadap orang lain. Dia kurang senang apabila melihat
rakan-rakannya yang lain membeli gajet seperti telefon bimbit, komputer riba
dan peralatan atau pakaian baru. Sya menyimpan hasrat dan berniat jahat untuk mencuri
barang-barang rakannya untuk memuaskan hatinya. Walaupun Sya berkelakuan
seperti itu, rakan-rakannya tidak mengesyakinya sedikit pun kerana di mata
rakan-rakannya Sya seorang yang baik hati dan berbudi pekerti.
PERNYATAAN MASALAH
Mengikut penceritaan dan pemerhatian,
Sya sangat dengki terhadap rakan-rakannya kerana dia tidak mempunyai dan tidak
berkesempatan untuk memiliki barang-barang seperti rakan-rakannya peroleh.
Tetapi mengapa Sya sanggup mencuri barang-barang rakannya semata-mata hanya
untuk memuaskan hatinya? Apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh Sya
sehingga sanggup berkelakuan seperti itu? Mengapa Sya tidak cuba untuk meminta
atau bertanya dengan ibu bapanya untuk membelikannya barang yang dia kehendaki?
MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Sebenarnya Sya tidak berani untuk
meminta-minta sesuatu daripada orang tuanya kerana dikhuatiri akan dimarah dan permintaannya tidak dilayan.
Hal ini demikian kerana keluarga Sya merupakan keluarga yang agak susah dan
ayahnya bertungkus-lumus untuk mencari wang menyara kehidupan keluarga. Sya
tidak sampai hati untuk meminta daripada ayahnya untuk membelikannya telefon
bimbit atau komputer riba serta pakaian baru kerana dia tahu ayahnya pasti akan
menolak permintaannya. Selain itu, Sya juga tidak mahu ayahnya bekerja lebih
masa hanya untuk mengumpul wang untuk membelikan barang yang diminta. Kesusahan
keluarga dan kegawatan ekonomi keluarga Sya membuatkannya berniat untuk mencuri
barang rakannya seperti telefon bimbit dan wang.
PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·
Menasihatinya
agar menghentikan segera tindakan mencuri.
·
Memberi
cadangan untuk menjalankan jualan kecil-kecilan di asrama tempat Sya belajar
sebagai wang sampingan.
·
Menasihatinya
agar berjimat cermat dan amalkan sikap menabung.
KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES MEMBANTU
·
Mendengar
masalahnya dengan teliti.
·
Memberi
beberapa idea untuk menambah duit poket agar tidak hanya bergantung kepada ibu
bapa untuk member wang perbelanjaan.
·
Menasihatinya
agar menggunakan wang perbelanjaan yang diberi dengan cermat.
REFLEKSI
Sesi kaunseling berjalan dengan lancar dan klien menunjukkan sikap ingin
berubah menjadi
individu yang lebih berguna kepada keluarga serta akan berusaha
meninggalkan kelakuan buruknya. Dengan
menggunakan kemahiran spiritual, klien sedar bahawa dia juga harus sentiasa
mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan keluarganya kerana setiap usaha harus
diiringi dengan doa yang ikhlas kepada Tuhan.
KLIEN KETIGA
TARIKH
26 Januari 2014
NAMA SAMARAN
Hae
LATAR BELAKANG KLIEN
Lahir pada 18 Disember 1995 di Kota
Kuala Muda, Kedah. Dibesarkan dalam keluarga yang berada dan ayahnya bekerja
sebagai seorang jurutera yang Berjaya. Ibunya pula menguruskan syarikat
datuknya yang bertempat di sekitar Alor Setar, Kedah. Hae merupakan seorang
anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan segala kemahuannya dipenuhi olaeh
orang tuanya. Dia mendapat didikan yang mencukupi dan sentiasa menjadi pelajar
cemerlang di sekolah. Tetapi Hae mempunyai tabiat yang tidak elok dan sikapnya
yang kurang ajar terhadap orang lain tidak kira tua atau muda.
PEMERHATIAN
Hae seorang yang bijak tetapi
perangainya kurang disenangi oleh kawan-kawannya kerana dia sering mengganggu
kawan lain semasa di kelas. Selain itu, Hae juga kerap kali ponteng kelas dan
dia juga berani melawan kata-kata pensyarah. Walaupun dia selalu ponteng ke
kelas, keputusan peperiksaannya tidak pernah mengecewakan ibu bapanya. Setiap
semester nama Hae akan tersenarai dalam Anugerah Dekan. Tetapi sayang,
kebijaksanaan dan reputasi Hae dalam pelajaran telah tercalar disebabkan oleh
Hae terjebak dalam aktiviti menghisap ganja di kolej.
PERNYATAAN MASALAH
Hae telah tertangkap oleh pihak kolej
kerana dia didapati terjebak dalam aktiviti menghisap ganja bersama
rakan-rakannya di kolej kediamannya. Perbuatan Hae telah merosakkan reputasi
dan kecemerlangan akademiknya. Persoalannya, bagaimana Hae yang merupakan
seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik boleh terlibat dalam gejala yang
tidak sihat tersebut? Adakah semuanya berpunca daripada pengaruh rakan
sebayanya?
MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Hae merupakan seorang anak lelaki
tunggal dalam keluarganya. Dia mendapat didikan pelajaran yang mencukupi
daripada keluarganya tetapi Hae kurang mendapat didikan moral dan agama. Hal
ini demikian kerana keluarganya hanya mementingkan hal akademik daripada hal
agama dan moral. Semakin Hae meningkat dewasa, perangai dan sikapnya semakin
teruk dan kadang-kadang ibu bapanya buntu mencari jalan untuk menasihati dan
memperbaiki sikap anaknya. Perangai buruk Hae dibawa sehingga ke universiti.
Hae bergaul dengan rakan-rakan yang rendah moralnya dan akhirnya terpengaruh
dengan ajakan rakan-rakan untuk menghisap ganja. Pada mulanya Hae agak takut
untuk mencuba ganja tersebut tetapi setelah mencuba untuk pertama kali, dia
berasa seronok dan ketagih dengan ganja tersebut. Sekarang Hae masih dibawah
penyiasatan kolej dan ditahan untuk menghadiri mana-mana program yang
melibatkan universiti tersebut.
PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·
Memberi
kata-kata semangat agar tabah dan sabar menerima dugaan tersebut.
·
Menasihatinya
agar cepat bertaubat dan meminta maaf kepada ibu bapa dan atas segala kesalahan
yang dilakukan.
KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES MEMBANTU
·
Menjadi
pendengar yang setia.
·
Menasihati
klien agar bersabar dan segera mengubah perangai kepada yang lebih baik.
·
Memberi
cadangan yang dapat meringankan bebannya untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
REFLEKSI
Setelah diberikan bimbingan klien berasa senang dan lega kerana masalah
yang dihadapinya sedikit demi sedikit dapat diringankan. Meskipun pada awalnya,
klien agak ragu-ragu dengan bantuan yang disarankan tetapi lama-kelamaan dia
dapat menerimanya. Sesi kaunseling kelihatan lebih berjaya apabila klien
menanam cita-cita untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang
akademik dan sahsiah setelah dia bebas daripada penahanan kolej.
No comments:
Post a Comment