Thursday, March 6, 2014

CONTOH LAPORAN SESI KAUNSELING


KLIEN PERTAMA
TARIKH                       
20 Januari 2014

NAMA SAMARAN     
Maryam

LATAR BELAKANG KLIEN
Lahir pada 6 Februari 1995 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Klien bersekolah rendah di sebuah sekolah di Klang, Safiyya Private School, seterusnya bersekolah menengah di Wadi Yusuff’s High School, Klang sehingga PMR dan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Sains Tapah dan mengambil aliran Sains Tulin. Taraf sosial keluarga yang dianggap berada dan mewah, membolehkan klien berkeupayaan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik yang bermula di peringkat sekolah rendah lagi. Maryam banyak terlibat dalam kegiatan ko-kurikulum termasuklah kelab Silat Gayung yang memerlukan disiplin yang tinggi serta ketangkasan individu. Dia mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Klien merupakan anak sulung daripada 2 orang adik beradik. Ayahnya memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat yang bertempat di Subang Jaya, Selangor. Ibunya pula ialah seorang doktor pakar kulit dan telah membuka sebuah klinik pakar kulit di sekitar Klang.

PEMERHATIAN
Klien ialah seorang pelajar yang kemas dalam berpakaian, rupa paras yang menarik, mempunyai ciri-ciri pemimpin dan boleh dikatakan berketrampilan. Boleh dipercayai apabila diberikan tanggungjawab yang diamanahkan. Tetapi dia suka menyendiri dan selalu menangis seorang diri tanpa sesiapa pun tahu apa punca beliau menangis. Dia kelihatan selalu berjalan ke kelas seorang diri dan jarang berjalan atau keluar beriadah bersama kawan-kawan yang lain.  Kehidupannya di kolej kelihatan suram dan tidak ramai yang ingin berkawan dengannya kerana mereka menganggap dirinya sombong.

PERNYATAAN MASALAH
Mengikut pemerhatian, Maryam didapati selalu mengasingkan diri daripada kawan-kawan yang lain dan kerap menangis. Sebenarnya apakah masalah yang dihadapi oleh Maryam yang sehingga dia jarang bergaul dengan orang ramai dan sentiasa berdiam diri? Adakah masalah tersebut berpunca daripada keluarganya atau daripada sikapnya sendiri?

MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Sebenarnya Maryam dikenal pasti mempunyai masalah dengan keluarganya terutama ibu dan bapanya. Dia kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya sehingga dia merasakan dirinya tidak berguna. Dia kebanyakannya menghabiskan masa bersama orang gajinya sahaja. Ibu bapanya tidak membenarkan Maryam untuk bergaul dengan kawan-kawan yang lain kerana takut terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat dan tidak bermoral. Oleh hal yang demikian, Maryam hanya terperuk di rumah sahaja dan hanya bersosial di media massa dan laman siber seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Tmblr. Kongkongan oleh ibu bapanya membuatkan Maryam berasa kekok apabila dia keluar dari rumah berjumpa dengan orang ramai. Tambahan lagi, ibu bapanya selalu sahaja sibuk dengan kerja masing-masing dan jarang sekali berada di rumah. Situasi tersebut menyebabkan Maryam seperti menghadapi tekanan emosi kerana dia tidak boleh untuk meluangkan masa dan menceritakan masalah dengan ibu bapanya. Dia juga kurang mendapat perhatian daripada orang tuanya dan menyebabkan dia berasa sangat sunyi. Akibatnya, dia sentiasa kelihatan murung dan kerap kali menangis kerana dia jarang sekali berjaya untuk menghubungi ibu bapanya untuk bertanya khabar dan berkongsi masalah disebabkan oleh kesibukan mereka.



 PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·         Menasihatinya agar tidak terlalu mengikut perasaan dan jangan membawa masalah keluarga dalam kehidupan luar.
·         Cuba untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana program agar dapat berkomunikasi dan bergaul dengan orang ramai.
·         Cuba berkongsi masalah dan cerita dengan kawan-kawan yang boleh dipercayai agar dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung.


KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES MEMBANTU
·         Mendengar setiap kata-kata dan masalah daripada klien.
·         Menasihatinya dan memberi cadangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.


REFLEKSI
Berdasarkan kes di atas, klien sedikit sebanyak menemui celik akal dan menunjukkan
kekuatan kendiri hasil dari proses kaunseling tersebut. Klien menjadikan segala cadangan dan nasihat sebagai penguat serta perangsang semangat. Selain itu, ditambah dengan kerjasama dan keinginan mendalam klien untuk berubah telah menjadikan sesi ini agak berkesan dan mampu mengurangkan masalah emosi klien.



KLIEN KEDUA

TARIKH           
22 Januari 2014

NAMA SAMARAN
Sya

LATAR BELAKANG KLIEN
Sya dilahirkan pada 20 Disember 1995 di Kuala Kangsar, Perak. Dia merupakan anak keempat daripada 6 orang adik beradik. Sya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak susah dan ayahnya bekerja sebagai penoreh getah sementara ibunya hanya seorang surirumah. Kehidupan keluarganya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan ayahnya hanya dapat menyara keluarga dengan RM700 sebulan. Sya bersekolah di Sekolah Menengah Tunku Hussin, Kuala Kangsar dan mendapat keputusan yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Namun nasib menyebelahinya, walaupun keputusan SPM tidak begitu memuaskan, dia ditawarkan untuk menyambung pelajaran di sebuah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN).

PEMERHATIAN
Sya merupakan seorang gadis yang sangat baik dan peramah. Dia sentiasa ceria dan disenangi oleh rakan-rakannya. Walaupun Sya seorang yang peramah dan ceria, sebenarnya dia mempunyai sifat iri hati dan dengki terhadap orang lain. Dia kurang senang apabila melihat rakan-rakannya yang lain membeli gajet seperti telefon bimbit, komputer riba dan peralatan atau pakaian baru. Sya menyimpan hasrat dan berniat jahat untuk mencuri barang-barang rakannya untuk memuaskan hatinya. Walaupun Sya berkelakuan seperti itu, rakan-rakannya tidak mengesyakinya sedikit pun kerana di mata rakan-rakannya Sya seorang yang baik hati dan berbudi pekerti.

PERNYATAAN MASALAH
Mengikut penceritaan dan pemerhatian, Sya sangat dengki terhadap rakan-rakannya kerana dia tidak mempunyai dan tidak berkesempatan untuk memiliki barang-barang seperti rakan-rakannya peroleh. Tetapi mengapa Sya sanggup mencuri barang-barang rakannya semata-mata hanya untuk memuaskan hatinya? Apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh Sya sehingga sanggup berkelakuan seperti itu? Mengapa Sya tidak cuba untuk meminta atau bertanya dengan ibu bapanya untuk membelikannya barang yang dia kehendaki?

MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Sebenarnya Sya tidak berani untuk meminta-minta sesuatu daripada orang tuanya kerana dikhuatiri  akan dimarah dan permintaannya tidak dilayan. Hal ini demikian kerana keluarga Sya merupakan keluarga yang agak susah dan ayahnya bertungkus-lumus untuk mencari wang menyara kehidupan keluarga. Sya tidak sampai hati untuk meminta daripada ayahnya untuk membelikannya telefon bimbit atau komputer riba serta pakaian baru kerana dia tahu ayahnya pasti akan menolak permintaannya. Selain itu, Sya juga tidak mahu ayahnya bekerja lebih masa hanya untuk mengumpul wang untuk membelikan barang yang diminta. Kesusahan keluarga dan kegawatan ekonomi keluarga Sya membuatkannya berniat untuk mencuri barang rakannya seperti telefon bimbit dan wang.

PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·         Menasihatinya agar menghentikan segera tindakan mencuri.
·         Memberi cadangan untuk menjalankan jualan kecil-kecilan di asrama tempat Sya belajar sebagai wang sampingan.
·         Menasihatinya agar berjimat cermat dan amalkan sikap menabung.




KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES MEMBANTU
·         Mendengar masalahnya dengan teliti.
·         Memberi beberapa idea untuk menambah duit poket agar tidak hanya bergantung kepada ibu bapa untuk member wang perbelanjaan.
·         Menasihatinya agar menggunakan wang perbelanjaan yang diberi dengan cermat.


REFLEKSI
Sesi kaunseling berjalan dengan lancar dan klien menunjukkan sikap ingin berubah menjadi
individu yang lebih berguna kepada keluarga serta akan berusaha meninggalkan kelakuan buruknya.  Dengan menggunakan kemahiran spiritual, klien sedar bahawa dia juga harus sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan keluarganya kerana setiap usaha harus diiringi dengan doa yang ikhlas kepada Tuhan.



KLIEN KETIGA
TARIKH
26 Januari 2014
NAMA SAMARAN
Hae
LATAR BELAKANG KLIEN
Lahir pada 18 Disember 1995 di Kota Kuala Muda, Kedah. Dibesarkan dalam keluarga yang berada dan ayahnya bekerja sebagai seorang jurutera yang Berjaya. Ibunya pula menguruskan syarikat datuknya yang bertempat di sekitar Alor Setar, Kedah. Hae merupakan seorang anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan segala kemahuannya dipenuhi olaeh orang tuanya. Dia mendapat didikan yang mencukupi dan sentiasa menjadi pelajar cemerlang di sekolah. Tetapi Hae mempunyai tabiat yang tidak elok dan sikapnya yang kurang ajar terhadap orang lain tidak kira tua atau muda.

PEMERHATIAN
Hae seorang yang bijak tetapi perangainya kurang disenangi oleh kawan-kawannya kerana dia sering mengganggu kawan lain semasa di kelas. Selain itu, Hae juga kerap kali ponteng kelas dan dia juga berani melawan kata-kata pensyarah. Walaupun dia selalu ponteng ke kelas, keputusan peperiksaannya tidak pernah mengecewakan ibu bapanya. Setiap semester nama Hae akan tersenarai dalam Anugerah Dekan. Tetapi sayang, kebijaksanaan dan reputasi Hae dalam pelajaran telah tercalar disebabkan oleh Hae terjebak dalam aktiviti menghisap ganja di kolej.




PERNYATAAN MASALAH
Hae telah tertangkap oleh pihak kolej kerana dia didapati terjebak dalam aktiviti menghisap ganja bersama rakan-rakannya di kolej kediamannya. Perbuatan Hae telah merosakkan reputasi dan kecemerlangan akademiknya. Persoalannya, bagaimana Hae yang merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik boleh terlibat dalam gejala yang tidak sihat tersebut? Adakah semuanya berpunca daripada pengaruh rakan sebayanya?

MASALAH SEBENAR YANG DIKENAL PASTI
Hae merupakan seorang anak lelaki tunggal dalam keluarganya. Dia mendapat didikan pelajaran yang mencukupi daripada keluarganya tetapi Hae kurang mendapat didikan moral dan agama. Hal ini demikian kerana keluarganya hanya mementingkan hal akademik daripada hal agama dan moral. Semakin Hae meningkat dewasa, perangai dan sikapnya semakin teruk dan kadang-kadang ibu bapanya buntu mencari jalan untuk menasihati dan memperbaiki sikap anaknya. Perangai buruk Hae dibawa sehingga ke universiti. Hae bergaul dengan rakan-rakan yang rendah moralnya dan akhirnya terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk menghisap ganja. Pada mulanya Hae agak takut untuk mencuba ganja tersebut tetapi setelah mencuba untuk pertama kali, dia berasa seronok dan ketagih dengan ganja tersebut. Sekarang Hae masih dibawah penyiasatan kolej dan ditahan untuk menghadiri mana-mana program yang melibatkan universiti tersebut.

PELAN TINDAKAN YANG DIAMBIL UNTUK MEMBANTU KLIEN
·         Memberi kata-kata semangat agar tabah dan sabar menerima dugaan tersebut.
·         Menasihatinya agar cepat bertaubat dan meminta maaf kepada ibu bapa dan atas segala kesalahan yang dilakukan.




KEMAHIRAN YANG DIGUNAKAN DALAM PROSES MEMBANTU
·         Menjadi pendengar yang setia.
·         Menasihati klien agar bersabar dan segera mengubah perangai kepada yang lebih baik.
·         Memberi cadangan yang dapat meringankan bebannya untuk mengatasi masalah yang dihadapi.


REFLEKSI
Setelah diberikan bimbingan klien berasa senang dan lega kerana masalah yang dihadapinya sedikit demi sedikit dapat diringankan. Meskipun pada awalnya, klien agak ragu-ragu dengan bantuan yang disarankan tetapi lama-kelamaan dia dapat menerimanya. Sesi kaunseling kelihatan lebih berjaya apabila klien menanam cita-cita untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah setelah dia bebas daripada penahanan kolej.



No comments:

Post a Comment